Katakan yang kita mahu membina sebuah rumah. Maka, pasir, simen, batu bata, papan, dan yang lain-lainnya di perlukan bagi membina sebuah rumah itu. Lalu, diupah pekerja-pekerja bagi membina rumah tersebut. Dari situ, cuba perhatikan bersama, agaknya apakah perkara utama yang akan mereka lakukan terlebih dahulu sebelum mendirikan rumah tersebut ? Pastinya tiang-tiang yang akan didirikan terlebih dahulu sebelum yang lain-lainnya. Dan selepas didirikan tiang-tiang itu dengan kukuh lagi utuh, maka barulah yang lain-lainnya menyusul bagi melengkapkan rumah tersebut.
Apa yang ingin digariskan di sini, adalah dalam
membina apa-apa sekalipun, sama ada manusia, bangunan, kenderaan dan
sebagainya, maka ‘tapak’ bagi setiap unsur itu haruslah diperkukuhkan
terlebih dahulu. Jika bangunan, maka tiang itu menjadi teras utamanya.
Bagi sebuah kenderaan pula, rangka dalam itu menjadi tonggak asasnya.
Tapi bagi manusia, bagaimana ? Di mana teras utamanya ? Ada ataupun
tidak ada ? Adakah struktur tulang belakangnya ? Ataupun kekuatan
ototnya ? Atau selain dari keduanya ?
Jika bangunan dan kenderaan itu mempunyai teras
sebelum mendirikan struktur masing-masing sebelum menjadi hasil yang
hebat, inikan pula manusia yang telah Allah jadikan sebagai sebaik-baik
kejadian di atas muka bumi ini, melebihi mana-mana bangunan mahupun
kenderaan-kenderaan yang hebat.
Teras Manusia
Maka sebagai manusia, semestinya kita punya teras
yang mesti dibangunkan, didirikan dengan elok dan berhati-hati. Ini
kerana teras ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan cara
mendirikannya pula tidak sama dengan mendirikan bangunan ataupun
menghasilkan kenderaan. Dan teras ini mesti dibangunkan dengan betul
sekiranya tidak mahu menjadi seperti “mayat hidup”. Hanya zahirnya saja
indah, tapi batinnya punah. Maka terasnya di sini, adalah hati. Ya, hati
! Hati itu umpama raja bagi diri, manakala anggota-anggota badan yang
lainnya seperti pengawal. Jika baik rajanya, maka baik jugalah
pengawal-pengawalnya. Tapi jika buruk akhlak raja itu, maka yang
demikian jugalah akan terjadi kepada pengawal-pengawalnya.
Ingat ! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada
segumpal darah. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak,
maka rosaklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad
seluruhnya. Ingat ! Itulah hati.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Harus diingat, setiap perbuatan yang dilakukan adalah
atas satu arahan. Dari mana datangnya arahan itu ? Arahan itu datangnya
dari hati. Maka, hati itu perlu dibajai dengan seelok-eloknya,
serapi-rapi yang mungkin dengan iman dan amal ibadah. Agar hasilnya
nanti hanya yang indah-indah.
Fitrah Hati
Kadang kala kita melihat, seseorang itu kelihatan
murung. Sepertinya sedang di landa segunung besar masalah terhadap
dirinya. Lalu perhatikan, apa yang akan dilakukan olehnya nanti. Pada
kebiasaannya, mereka-mereka yang seperti ini akan mengunjungi
masjid-masjid ataupun surau-surau bagi mententeramkan hati
masing-masing. Dan pada masa itu, akan kelihatan pertambahan amal ibadah
seperti membaca Al-Quran, kerap kali melakukan solat-solat sunat,
berpuasa dan lain-lainnya. Tetapi ini tidak bermaksud mereka-mereka yang
mengunjungi masjid-masjid atau surau-surau adalah hanya ketika di landa
masalah saja. Mungkin segelintir saja yang melakukan hal ini. Tetapi
itulah yang di katakan fitrah manusia. Manusia itu fitrahnya bersih dan
suci. Tetapi apabila tersilap mengambil langkah, maka diri yang mulanya
bersih dan suci itu, akan berubah menjadi kotor dan jijik. Disebabkan
perubahan yang negatif ini, secara automatiknya mereka akan bersegera
untuk menyucikan diri masing-masing. Kembali untuk menjadi fitrah yang
asal.
Menjadi Hati Yang Bersih
Jadi di
sini, hati yang bersih itu seharusnya menjadi satu perkara yang terjadi
kepada kita. Hati bersih itu semestinya kita miliki, bukannya
diimpi-impi. Sekiranya mahukan hal yang ini, maka perlulah diambil
cara-cara dan mengamalkannya bagi mendapatkan hati yang bersih,
insyaAllah. Dan di antara cara-cara itu ialah dengan selalu membaca
Al-Quran, berzikir dan menambah amalan-amalan sunat. Bagi amalan membaca
Al-Quran, pastikan diri kita membacanya, sekurang-kurangnya satu muka
sehari. Pilihlah pada waktu mana yang dirasakan sesuai. Dan jika
berpeluang untuk membaca melebihi had satu muka sehari, alangkah
bertuahnya diri dan hati. Pada amalan-amalan sunat pula, jika tidak
banyak yang diamalkan, maka istiqamahlah terhadap amalan yang masih
diamalkan ketika ini. Jika hanya satu saja amalan sunat yang selalu
diamalkan seperti memberi salam, maka istiqamahlah. Akan tetapi,
alangkah lebih baik jika ditambah dengan amalan-amalan sunat yang lain,
lalu diistiqamahkan juga. Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang lain.
Jadi pilih dan amalkannya. Kerana pada amalan-amalan sunat itu, amatlah
besar ganjarannya di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment