Dakwah adalah ajakan seorang Muslim kepada orang lain, baik sesama
Muslim mahupun bukan Muslim, untuk mengikuti perintah-perintah Allah SWT
dan menjauhi larangan-larangan-Nya, sebagaimana firman-Nya yang
bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang
baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa
yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui
orang-orang yang mendapat petunjuk.”(Q.S. An-Nahl: 125)
Dakwah
adalah sesuatu yang melekat pada diri seorang Muslim sehingga tidak ada
alasan sedikit pun bagi seseorang untuk tidak melaksanakannya atau
menghindari dari tugas-tugas tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“ Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.” (H.R Bukhari).
Dakwah
dapat dilakukan dengan lisan, tulisan, perbuatan, atau contoh
keteladanan. Dakwah juga dapat dilakukan secara sendiri-sendiri atau
berkelompok, melalui organisasi sosial, institusi pendidikan, pertubuhan
bukan kerajaan dan organisasi negara. Dakwah dapat disasarkan kepada
ahli keluarga sendiri, jiran setempat, rakan di pejabat, masyarakat
setempat, di luar negeri, dan yang terpenting terhadap diri sendiri.
Demikian luasnya erti komitmen kepada dakwah, sehinggakan Rasulullah SAW
merumuskan keperluan Islam dari aspek ini sebagaimana sabda baginda
saw.,
“Agama adalah nasihat.” Ibnu Aus dan para sahabat
bertanya, “ Bagi siapa ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW, “ Bagi
Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, bagi para pemuka muslimin serta rakyat
mereka.” (H.R Muslim).
Ke mana halatuju dakwah?
Allah-lah
tujuan kita. Tidak ada suatu arah yang kita tuju kecuali kepada Allah.
Kita beriman kepadaNya. Kita beribadah kepadaNya dengan sepenuh hati.
Kita mencari keredhaanNya dalam setiap usaha kita dari sekecil-kecil
perkara hingga kepada sebesar-besarnya, dengan penuh ketulusan dan
keikhlasan yang sempurna, serta benar-benar yakin bahawa di situlah
terletaknya kebahagiaan yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan
yang sebenar.
"Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu " AzZaariyat: 50
Apabila
menyampaikan seruan dakwah dan peringatan, kita wajiblah mengemukakan
kesyumulannya dengan selengkapnya, dengan seutuhnya dan dengan segala
kesempurnaannya yang sempurna dan menyempurnakan tanpa memisahkan
sebahagian dari keseluruhannya atau memansuhkan sebahagian daripadanya
kerana sesungguhnya Islam itu adalah penutup segala agama. Satu agama
yang istimewa, syumul, lengkap, sempurna menyempurnakan yang meliputi
setiap kegiatan dan bidang kehidupan manusia duniawi dan ukhrawi di
dalam keselarasan dan keharmonian yang ajaib dan unik. Ini tidak lain
dan tidak bukan kerana ia adalah ciptaan Al-Khaliq (Pencipta) Yang Maha
Mengetahui (Al-Khabir) serta Maha Pengasih dan Penyayang kepada makhluk
dan hamba-hambaNya. Islamlah yang merealisasikan kesejahteraan dan
ketenteraman di dalam jiwa manusia selagi mereka beriman kepada Allah
dan mengesakanNya. Islam memberikan kepada mereka keselamatan dan
keamanan serta kehidupan yang baik di dunia dengan syarat mereka
mematuhi segala ajaran dan syariatNya. Seterusnya, Allah memberikan
kebahagiaan dan keselamatan di akhirat kelak.
Fahamilah kita semua akan firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan
tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri
mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah
dari orang-orang Islam (yang berserah sepenuhnya kepada Allah)!" (Al Fussilat:33)
Ayat
di atas dibuka dengan pernyataan: waman ahsanu qawlan. Ustaz Sayyid
Quthub ketika mentafsirkan ayat ini berkata: “Kalimat-kalimat dakwah
yang diucapkan oleh para pendakwah adalah kalimat paling baik, ia berada
pada barisan pertama di antara kalimat-kalimat yang baik yang mendaki
ke langit.” (lihat fii dzilaalil qur’an, oleh Sayyid Quthub, vol.5, h. 3121).
Kata waman ahsanu Allah ulang di beberapa tempat dalam Al-Qur’an untuk menegaskan tingginya kualiti dalam beberapa hal:
Pada surat An-Nisa ayat 125 Allah berfirman yang bermaksud:
“Siapakah yang lebih bagus agamanya dari pada orang yang menyerahkan diri kepada Allah.”
Dalam Al Maidah ayat 50:
“Siapa yang lebih bagus ajarannya dari pada ajaran Allah”.
Dan pada ayat Al Fussilat:33:
“Siapakah yang lebih bagus perkataannya dari pada perkataan orang yang menyeru di jalan Allah?”
Jika kita perhatikan semua ayat-ayat tersebut secara teilit, ternyata tugas dakwah sangat muliakan oleh Allah.
Adalah suatu keperluan bagi seorang penyeru agama Allah, menyerahkan
hidupnya kepada Allah swt. Ia tidak kenal lelah menjalani tugas-tugas
dakwah. Malahan ia juga tidak mengharapkan keuntungan duniawi, kecuali
hanyalah mencari redhaNya. Dalam Surat Yasiin ayat 21 Allah berfirman:
“Ikutilah orang yang tiada minta balasan kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Ayat
berikutnya dalam surah Al Fussilat:33, menegaskan pentingnya amal
soleh: wa amila shaalihaa. Mengapa? Apa hubungannya dengan dakwah?
Fahamilah
oleh kita bahawa janganlah kita hanya sekadar bijak berkata-kata, manis
berbicara dan lunak ucapannya, sementara perbuatannya jauh atau bahkan
bertentangan dengan apa yang disampaikannya. Benar, bahawa perkataan
dakwah adalah paling baiknya perkataan, tetapi itu kalau diikuti dengan
amal soleh. Jika tidak, maka perkataan itu akan menjadi petaka yang akan
menyerang pendakwah itu sendiri. Dalam Ash Shaf ayat 3 Allah berfirman:
“Amat besar kebencian Allah, bila kamu hanya mengatakan tanpa mengerjakannya.”
Perhatikan
sirah Rasulullah saw., baginda tidak hanya berbicara, melainkan lebih
dari itu seluruh perbuatannya merupakan contoh amal soleh. Allah swt.
merakamkan pengiktirafan yang luar biasa dalam surat Al-Qalam ayat 4:
“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Imam
Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan riwayat dari Aisyah
ra.: Bahawa akhlak Rasulullah saw. adalah Al-Qur’an (lihat Tafsir Ibn
Katsir, vol.4, h.629).
Di antara ciri utama berdakwah kepada
Allah, tidak saja mengamalkan ajaranNya dan menjauhi segala yang
dilarang; melainkan lebih dari itu menampilkan diri sebagai seorang
Muslim di manapun ia berada, Allah berfirman pada ayat berikutnya: wa
qaala innanii minal muslimiin.
Dengan kata lain tidak cukup seorang
mengamalkan Islam hanya dengan solat, membayar zakat dan mengerjakan
haji, sementara dalam hidup sehari-harinya tidak mencerminkan Islam,
misalnya ia tidak merasa berdosa dengan mempertontonkan auratnya di
mana-mana, membuang masa menonton filem-filem yang tidak memberi
manfaat, melakukan perkara-perkara kemaksiatan, kezaliman, rasuah, judi,
mengadu-domba, menyintai hiburan yang sia-sia, dan pelbagai lagi.
Seorang
pendakwah sejati selalu bangga dengan identitinya sebagai seorang
Muslim. Ia tidak takut menampilkan Islam sebagai peribadinya. Benar,
krisis umat Islam di mana-mana kini adalah krisis keberanian untuk
menampilkan wajah Islam yang sebenarnya. Islam mengajarkan kedisiplinan,
kebersihan, dan akhlak mulia, tetapi umat Islam di mana-mana sering
bersikap sebaliknya sehinggakan golongan bukan Muslim tidak dapat
melihat keindahan dan kewibawaan Islam pada penganutnya. Islam
mengajarkan kejujuran, dan ketegasan dalam menegakkan hukum, amanah dan
benar dalam menjalankan tugas, tetapi penipuan dan korupsi merebak di
tengah masyarakat yang majoritinya umat Islam.
Mengajak
masyarakat untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam, menyuruh mereka
berbuat baik dan melarang mereka berbuat yang tidak baik adalah
kewajiban dalam agama Islam. Maka kita sebagai penyeru kepada Islam
seharusnya tegas membawa tugas ini dan memikulnya dengan segala
kesungguhan, mengerahkan tenaga, serta waktu dan pemikiran kita. Dan
inilah tugas utama bagi kita sebagai pendakwah.